Razen pergi ke sekolah esok
hari dengan semangat baru. Dia memakai kasut baru pemberian abahnya semalam.
Senyuman berseri-seri tidak lekang dari wajah tatkala ibubapanya mengingati
ulang tahun kelahirannya. Terasa pagi yang gelap semalam kini sudah semakin
terang.
“ Razen oi! Berangan
ke?” Tiba-tiba wajah Ayob muncul depannya. Razen kaget.
“ Eh! Ayob. Maaflah, aku
tak perasan kau,” ujar Razen sambil tersengih. Ayob menggeleng. “ Tak apa, dah
biasa dah. Razen, macam mana dengan siku kau? Dah kering lukanya?” soal Ayob
sambil membelek siku sahabatnya itu.
Razen tersenyum. “
Alhamdulillah, makin sembuh. Mak kau pula?” Ayob mengangguk. “ Alhamdulillah,
mak aku tu kuat semangat orangnya. In Shaa ALLAH, makin sihat kut,” jawab Ayob
penuh harapan.
“ Ayob, aku doakan
supaya ALLAH sembuhkan mak kau. Kau kuat ye.” Razen memujuk hati sahabatnya.
Ayob tersenyum. “ Terima kasih, Razen.”
Ayob memandang ke kiri
dan ke kanan. Bagai ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. “ Razen, kau rasa sunyi semacam tak?” tanya
Ayob tiba-tiba. Razen mengangguk. Serentak mereka memandang ke belakang kelas.
“ Oh! Patutlah. Raja Buli tak datang,” ujar Ayob bersahaja.
“ Sopi! Mana ketua kau
yang tersayang tu? Demam kuning ke?” soal Ayob sejurus Sopi masuk ke kelas. Mereka berdua ketawa kecil. Ayob memang
begitu, suka sangat menyakat orang. Sopi menarik muka masam.
“ Bukan urusan kau,”
balasSopi angkuh. Ayob dan Razen tersentak.
“ Amboi! Sopannya bahasa
kau. Sopi, demi kebaikan kau kan..aku nasihatkan lebih baik kau sahut kempen budi bahasa, budaya kita. Kempen tu
sesuai sangat dengan orang macam kau ni,” perli Ayob lalu ketawa. Riak wajah
Sopi berubah.
“ Maaflah, Ayob. Aku tak
ada mood lah hari ni nak gelak dengar lawak kau,” balas Sopi sebelum berlalu,
barangkali terasa dengan sindiran Ayob.
Ayob hairan. Walaupun Sopi itu pakar
cari masalah tetapi kadang-kadang dia boleh juga dijadikan kawan bergurau.
“ Tak apa. Memaafkan itu
perbuatan mulia,” balas Ayob sambil suaranya
sedikit menekan. Razen menggeleng melihat telatah Ayob. Ada sahaja
ideanya nak menasihati orang.
“ Razen, aku ada sesuatu
nak bagi kau ni. Tapi, tak mahal lah. Biasa-biasa je. Aku harap kau sudilah
terima pemberian aku ni,” kata Ayob lalu tangannya pantas mencapai sebuah kotak
berwarna biru muda. Razen tertanya-tanya.
“ Sannah helwah, ya akhi.
Tabarakallah,” ujar Ayob perlahan. Hadiah bertukar tangan. Razen terharu sambil
membelek-belek hadiah di tangan. “ Macam berat je. Emas ke?” acah Razen. Ayob
ketawa. “ Kalau nak emas, gali kat lombong emaslah. Banyak cantik muka kau.
Cepatlah buka kotak tu,” balas Ayob, bergurau.
Perlahan-lahan Razen
membuka kotak itu. Matanya tertacap pada hadiah pemberian Ayob. Air matanya
bagai ingin menitis. “ Kamus Besta?” ujarnya perlahan. Ayob di sebelah dipandang silih berganti
dengan hadiah. “ Aku dah lama nak beli kamus ni. Tapi, tak pernah cukup duit,’
kata Razen lalu tersenyum. Ayob turut
bahagia.
“ Razen, kau sahabat aku. Kau pelajar pandai, Razen. Tapi, aku kasihan
bila tengok kamus yang selalu kau guna tu tertanggal kulitlah, terkoyaklah..aku
tak sampai hati, Razen. Aku tahu, kau dah lama kumpul duit nak beli Kamus Besta
ni. Kau sanggup ikat perut sebab nak kumpul duit tapi tak pernah cukup sebab
kau selalu dahulukan adik-adik kau,” ujar Ayob menahan sebak.
Air mata Razen akhirnya
menitis satu persatu. Alhamdulillah. “ Terima kasih banyak-banyak , Ayob. Maaf,
kalau menyusahkan kau.” Mereka berpelukan. Terasa indah ukhuwah yang mereka
bina itu. Alhamdulillah. “ Sama-sama, Razen. Kau jangan risau, kau tak susahkan
aku pun.”
Pelukan terlerai.
Tiba-tiba, Cikgu Hanisah
meluru masuk ke kelas dengan wajah berkerut seribu. Belum sempat Hadi, Si Ketua
kelas memberikan salam, Cikgu Hanisah terlebih dahulu menyuruh pelajarnya
duduk. Masing-masing hairan. Apa yang sudah terjadi?
“ Maafkan saya sebab
masuk kelas lewat ye, pelajar. Ada hal tadi,” kata Cikgu Hanisah. “ Sopi, Amid.
Macam mana keadaan Juki?” soal Cikgu Hanisah sejurus matanya terlekat pada
wajah Amid dan Sopi.
Semua mata terarah
kepada dua rakan baik itu. Amid menggeleng. Sopi membisu. “ Kami pun kurang
pastilah, cikgu. Petang ni baru nak pergi melawat. Tadi, saya telefon ibunya
dan dia kata Juki seolah-olah trauma. Dia takut bila tengok orang dan takut nak
tidur,” balas Amid perlahan.
Tiba-tiba satu kelas
bising. Tidak mengerti apa yang dibicarakan oleh Amid. Kenapa dengan Juki?
Trauma kerana apa?
“ Astaghfirullahaladzim.
Kasihannya Juki.
Pelajar semua, cikgu ada
satu berita mengejut dan cikgu harap kamu semua bertenang. Pagi tadi, sekitar
pukul 4.00 pagi..rumah Juki telah dimasuki sekumpulan perompak
bersenjatakan parang dan pedang samurai.
Mereka kerugian hampir RM 500,000 ringgit dan lebih malang lagi..ayah Juki,
Encik Jalil ketua PIBG kita telah ditetak dengan parang kerana cuba melawan
manakala Juki pula ditumbuk bertubi-tubi kerana ingin menyelamatkan bapanya dan
kemudian mereka diikat di bilik stor.
Mujur, pembantu rumah
mereka sempat menyorok dan melarikan diri lalu meminta pertolongan jiran
tetangga. Jadi, cikgu mahu kita semua berdoa kepada ALLAH untuk kesembuhan
Encik Jalil yang sedang koma dan Juki yang mengalami trauma serius di hospital
kini. Jika ada masa, tolong pergi melawatnya. Dia perlukan sokongan daripada
kita semua,” terang Cikgu Hanisah panjang lebar. Sebak.
Satu kelas terkejut
besar dengan berita ini. Bagai tidak percaya. Masing-masing turut bersedih
walaupun mereka semua tidak begitu menyenangi Juki tetapi perasaan kasihan
menjalar dalam hati. Razen dan Ayob
beristighfar panjang. Mereka saling
berpandangan.
Tiba-tiba, bagai
terngiang-ngiang suara Juki di telinga Razen.
“Suatu hari nanti, kau akan tahu betapa langit tu tinggi ke rendah,
Razen.” Wajah Razen berubah
serta-merta. Juki…
“ Ya ALLAH! Bantulah
Juki. Kasihanilah dia dan keluarganya,” doa Razen dalam hati. Juki, tabahlah wahai sahabat!
-TAMAT-