Tuesday, March 19, 2013

Pagi yang gelap Bhg 2

Razen pergi ke sekolah esok hari dengan semangat baru. Dia memakai kasut baru pemberian abahnya semalam. Senyuman berseri-seri tidak lekang dari wajah tatkala ibubapanya mengingati ulang tahun kelahirannya. Terasa pagi yang gelap semalam kini sudah semakin terang.
“ Razen oi! Berangan ke?” Tiba-tiba wajah Ayob muncul depannya. Razen kaget.
“ Eh! Ayob. Maaflah, aku tak perasan kau,” ujar Razen sambil tersengih. Ayob menggeleng. “ Tak apa, dah biasa dah. Razen, macam mana dengan siku kau? Dah kering lukanya?” soal Ayob sambil membelek siku sahabatnya itu.
Razen tersenyum. “ Alhamdulillah, makin sembuh. Mak kau pula?” Ayob mengangguk. “ Alhamdulillah, mak aku tu kuat semangat orangnya. In Shaa ALLAH, makin sihat kut,” jawab Ayob penuh harapan.
“ Ayob, aku doakan supaya ALLAH sembuhkan mak kau. Kau kuat ye.” Razen memujuk hati sahabatnya. Ayob tersenyum. “ Terima kasih, Razen.”
Ayob memandang ke kiri dan ke kanan. Bagai ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.  “ Razen, kau rasa sunyi semacam tak?” tanya Ayob tiba-tiba. Razen mengangguk. Serentak mereka memandang ke belakang kelas. “ Oh! Patutlah. Raja Buli tak datang,” ujar Ayob bersahaja.
“ Sopi! Mana ketua kau yang tersayang tu? Demam kuning ke?” soal Ayob sejurus Sopi masuk ke kelas.  Mereka berdua ketawa kecil. Ayob memang begitu, suka sangat menyakat orang. Sopi menarik muka masam.
“ Bukan urusan kau,” balasSopi angkuh. Ayob dan Razen tersentak.
“ Amboi! Sopannya bahasa kau. Sopi, demi kebaikan kau kan..aku nasihatkan lebih baik kau sahut kempen budi bahasa, budaya kita. Kempen tu sesuai sangat dengan orang macam kau ni,” perli Ayob lalu ketawa. Riak wajah Sopi berubah.
“ Maaflah, Ayob. Aku tak ada mood lah hari ni nak gelak dengar lawak kau,” balas Sopi sebelum berlalu, barangkali terasa dengan sindiran Ayob.  Ayob hairan.  Walaupun Sopi itu pakar cari masalah tetapi kadang-kadang dia boleh juga dijadikan kawan bergurau.
“ Tak apa. Memaafkan itu perbuatan mulia,” balas Ayob sambil suaranya  sedikit menekan. Razen menggeleng melihat telatah Ayob. Ada sahaja ideanya nak menasihati orang.
“ Razen, aku ada sesuatu nak bagi kau ni. Tapi, tak mahal lah. Biasa-biasa je. Aku harap kau sudilah terima pemberian aku ni,” kata Ayob lalu tangannya pantas mencapai sebuah kotak berwarna biru muda. Razen tertanya-tanya.
“ Sannah helwah, ya akhi. Tabarakallah,” ujar Ayob perlahan. Hadiah bertukar tangan. Razen terharu sambil membelek-belek hadiah di tangan. “ Macam berat je. Emas ke?” acah Razen. Ayob ketawa. “ Kalau nak emas, gali kat lombong emaslah. Banyak cantik muka kau. Cepatlah buka kotak tu,” balas Ayob, bergurau.
Perlahan-lahan Razen membuka kotak itu. Matanya tertacap pada hadiah pemberian Ayob. Air matanya bagai ingin menitis. “ Kamus Besta?” ujarnya perlahan.  Ayob di sebelah dipandang silih berganti dengan hadiah. “ Aku dah lama nak beli kamus ni. Tapi, tak pernah cukup duit,’ kata Razen lalu tersenyum.  Ayob turut bahagia.
 “ Razen, kau sahabat aku.  Kau pelajar pandai, Razen. Tapi, aku kasihan bila tengok kamus yang selalu kau guna tu tertanggal kulitlah, terkoyaklah..aku tak sampai hati, Razen. Aku tahu, kau dah lama kumpul duit nak beli Kamus Besta ni. Kau sanggup ikat perut sebab nak kumpul duit tapi tak pernah cukup sebab kau selalu dahulukan adik-adik kau,” ujar Ayob menahan sebak.
Air mata Razen akhirnya menitis satu persatu. Alhamdulillah. “ Terima kasih banyak-banyak , Ayob. Maaf, kalau menyusahkan kau.” Mereka berpelukan. Terasa indah ukhuwah yang mereka bina itu. Alhamdulillah. “ Sama-sama, Razen. Kau jangan risau, kau tak susahkan aku pun.”
Pelukan terlerai.
Tiba-tiba, Cikgu Hanisah meluru masuk ke kelas dengan wajah berkerut seribu. Belum sempat Hadi, Si Ketua kelas memberikan salam, Cikgu Hanisah terlebih dahulu menyuruh pelajarnya duduk. Masing-masing hairan. Apa yang sudah terjadi?
“ Maafkan saya sebab masuk kelas lewat ye, pelajar. Ada hal tadi,” kata Cikgu Hanisah. “ Sopi, Amid. Macam mana keadaan Juki?” soal Cikgu Hanisah sejurus matanya terlekat pada wajah Amid dan Sopi.
Semua mata terarah kepada dua rakan baik itu. Amid menggeleng. Sopi membisu. “ Kami pun kurang pastilah, cikgu. Petang ni baru nak pergi melawat. Tadi, saya telefon ibunya dan dia kata Juki seolah-olah trauma. Dia takut bila tengok orang dan takut nak tidur,” balas Amid perlahan.
Tiba-tiba satu kelas bising. Tidak mengerti apa yang dibicarakan oleh Amid. Kenapa dengan Juki? Trauma kerana apa?
“ Astaghfirullahaladzim. Kasihannya Juki.
Pelajar semua, cikgu ada satu berita mengejut dan cikgu harap kamu semua bertenang. Pagi tadi, sekitar pukul 4.00 pagi..rumah Juki telah dimasuki sekumpulan perompak bersenjatakan  parang dan pedang samurai. Mereka kerugian hampir RM 500,000 ringgit dan lebih malang lagi..ayah Juki, Encik Jalil ketua PIBG kita telah ditetak dengan parang kerana cuba melawan manakala Juki pula ditumbuk bertubi-tubi kerana ingin menyelamatkan bapanya dan  kemudian mereka diikat di bilik stor.
Mujur, pembantu rumah mereka sempat menyorok dan melarikan diri lalu meminta pertolongan jiran tetangga. Jadi, cikgu mahu kita semua berdoa kepada ALLAH untuk kesembuhan Encik Jalil yang sedang koma dan Juki yang mengalami trauma serius di hospital kini. Jika ada masa, tolong pergi melawatnya. Dia perlukan sokongan daripada kita semua,” terang Cikgu Hanisah panjang lebar. Sebak.
Satu kelas terkejut besar dengan berita ini. Bagai tidak percaya. Masing-masing turut bersedih walaupun mereka semua tidak begitu menyenangi Juki tetapi perasaan kasihan menjalar dalam hati.  Razen dan Ayob beristighfar panjang.  Mereka saling berpandangan.
Tiba-tiba, bagai terngiang-ngiang suara Juki di telinga Razen.
Suatu hari nanti, kau akan tahu betapa langit tu tinggi ke rendah, Razen.”  Wajah Razen berubah serta-merta. Juki…
“ Ya ALLAH! Bantulah Juki. Kasihanilah dia dan keluarganya,” doa Razen dalam hati. Juki, tabahlah wahai sahabat!

 -TAMAT-



No comments: