Tuesday, March 19, 2013

Pagi yang gelap Bhg 1



Razen melemparkan pandangannya ke luar jendela. Awan yang berarak tadi putih kini menjadi gelap. Mendung di luar rumah sama seperti mendung dihatinya. Peristiwa pagi tadi di tempat tuisyen masih lagi ligat bermain di minda. Dia tahu, dia bukan sesiapa. Dia juga tahu bukan dia juga yang minta lahir di dalam keluarga susah. Tetapi itu takdir. Baginya yang paling penting dia tidak menyusahkan sesiapa. Dia bersyukur kepada ALLAH atas segalanya.

“ Razen, aku nak pinjam telefon bimbit kau kejap. Telefon aku tak ada kreditlah,” ujar Juki tiba-tiba datang ntah dari mana. Razen serba salah. Dahinya berkerut seribu.
“ Alah..pinjam ajelah sekejap. Takkan itu pun nak berkira dengan Juki. Kau ni, cubalah tanam sikit perasaan kasih-sayang dan tolong-menolong sesama insan,” desak Sopi, orang kanan Juki.
 “ Bagi je lah, Razen. Kasihan Juki ni, dia nak telefon daddy dia sekejap. Dia nak cakap sesuatu dengan daddy dia lah. Tak payahlah nak berkira sangat,” tokok konco Si Juki, Amid.
Razen mendengus kecil. Dia bukan berkira tetapi dia tidak berapa rapat dengan Juki. Siapa tidak kenal Juki? Anak ketua PIBG sekolah mereka, ke sekolah menaiki kereta berjenama dan paling penting di sekolahnya, dia raja segala jenayah!
Nak tak nak Razen terpaksa mengeluarkan telefon bimbitnya berwarna merah tuanya itu dari kocek.
Si Juki terus merampasnya dari tangan Razen.
Tiba-tiba Juki, Sopi dan Amid ketawa berdekah-dekah sampai merah muka. Razen mula mengangak sesuatu yang buruk pasti berlaku.
“ Hei, Razen! Kalau setakat telefon bimbit murah ni…aku tak hairanlah! Kau silap besarlah kalau fikir aku teringin sangat dengan telefon ni,” perli Juki sambil menahan ketawa.
“ Tahu tak apa. Telefon macam ni sesuai diguna 20 tahun lepas tahu tak? Adik aku yang 4 tahun tu pun tahu guna Ipad. Apalah kau ni,  kuno betul lah!” tambah Si Amid.
“ Kau ni, Amid..tak baik tau. Tapi kan, agak-agaknya Razen pun tak tahu Ipad tu apa,” balas Si Sopi pula.

Ketawa berderai lagi.
Saat itu wajah Razen sudah merah padam menahan malu. Razen malu dihina sebegitu. Harga dirinya bagai dipijak-pijak. Hendak melawan dia tidak pandai.
“ Kau tahu tak, Amid. Semalam daddy aku baru hadiahkan aku Iphone 5 tau. Tapi aku tak nak sebab aku rasa tak cukup mahal bagi aku. Lepas tu, mummy aku pula baru beli Samsung Galaxy Camera tau. Ada di rumah tu, tak guna pun. Buat perhiasan je.”
“Untunglah. Aku cuma guna Samsung Galaxy S3  je. Kau pula Sopi?”
Sopi ketawa. “ Aku? Mestilah Blackberry. Kawan-kawan, cuba kita tanya Razen dia guna telefon bimbit apa?” ujar Sopi lalu tersenyum nakal.
“ NOKIA 3310!” jerit mereka serentak lalu ketawa sambil memegang perut masing-masing yang buncit. Gembira idea jahat mereka berjalan dengan baik dan lancar sekali.
Razen mengeluh kecil. “ Juki. Kau nak pinjam ke tak nak ni?” akhirnya Razen bersuara.
Juki tersenyum sinis.  “ Razen, kau ingat aku terdesak sangat ke nak pinjam barang orang miskin macam kau? Nak pegang telefon bimbit ni pun aku rasa gatal je tangan aku ni,” jawab Juki.
Razen menarik nafas perlahan. “ Habis tu, kalau tak nak pinjam..pulangkanlah semula. Aku nak balik rumah ni,” ujar Razen cuba bersabar.

Juki ketawa kecil.
“ Sebagai seorang musuh yang mithali lah..aku nasihatkan kau Razen. Telefon macam ni kau buang je dalam tong sampah. Macam aku buat ni,” kata Juki lalu mencampak telefon bimbit Razen ke dalam tong sampah yang bersebelahan dengannya.
“ Juki, jangan!” jerit Razen.
Juki dan konco-konconya tergelak besar.
Razen terkejut. Dia segera berlari mendapatkan telefon bimbitnya yang sudah tercalit kotoran sisa makanan di dalam tong sampah itu.  Air mata Razen menitis perlahan. Hatinya turut menangis. “ Ya ALLAH! Apa salah hamba? Kuatkan hamba. Bantu hambaMu ini untuk menerima dengan redha,” doanya sebak dalam dada.
“ Juki, kau boleh tak suka aku tapi jangan hina aku macam aku tak ada perasaan.” Walaupun takut, namun Razen memberanikan diri untuk mempertahankan dirinya.
Juki ketawa.
“Kau fikir kau siapa yang aku kena hormat? Haaah..?!” marah Juki lalu menolak tubuh Razen yang kurus itu ke jalan.
Razen mengerang kesakitan. Sikunya berdarah tergaris tar jalan. Juki sudah mengepal-ngepal penumbuk padunya.
“Razen, jangan kau fikir mentang-mentang kau tu Ketua Umum sekolah, kau boleh buat apa saja yang kau suka. Kau bangga kan, bila tengok aku kena sebat depan pelajar lain. Kau suka bila aku kena tengking dengan pengetua. Kau gembira kan, susahkan hidup aku? Gara-gara kau, daddy aku dapat malu. Tapi, sekarang..tak ada sesiapa yang dapat selamatkan kau!” Api kebencian di mata Juki jelas kelihatan.

Razen beristighfar dalam hati.
 “ Aku tak takut, Juki. Aku takut ALLAH lebih dari kau. Walaupun tak ada sesiapa yang dapat selamatkan aku tetapi ALLAH ada dengan aku, Juki! ALLAH nampak apa yang kau buat,” jawab Razen berani., Dia sendiri pun tidak tahu dari mana keberanian itu datang.
Juki terdiam. Senyumannya mati. Begitu juga Sopi dan Amid. Riak muka berubah seratus peratus.
“ Juki, sudahlah tu. Tak payahlah nak bagi dia penumbuk comel kau tu. Blah je lah,” pujuk Sopi.
Sopi turut mengangguk. “ Jomlah, Juki. Aku rasa tak sedap hati pula sekarang ni,” ujar Amid pula.
Juki merenung Razen. “ Suatu hari nanti, kau akan tahu betapa langit tu tinggi ke rendah, Razen,” bisik Juki sambil menampar-nampar lembut pipi Razen sebelum berlalu pergi.
Bunyi guruh di langit menyedarkannya daripada lamunan panjang. Dia mengucap panjang dalam hati. Tangannya pantas menutup rapat tingkap biliknya.
“ Ya ALLAH! Kenapa hidup aku susah? Kenapa aku tidak kaya seperti Juki? Kalau aku kaya, mesti aku mampu ada barang mahal macam Juki. Mesti semua orang tak hina aku seperti tadi,” rungut hatinya sendiri.

Tiba-tiba bunyi mesej masuk kedengaran dari telefon bimbitnya. Tangan segera mencapai. Tertera nama Ayob di skrin telefon. Razen tersenyum nipis.
-Razen, bila ALLAH uji kau maksudnya ALLAH sayang kau. Jangan lemah. ALLAH pun tahu kau kuat, jadi janganlah mengada-ngada nak berasa lemah dengan sopannya. So, keeps going on because ALLAH!- Ayob yang hensem lagi macho.
Razen tersenyum. Ayob. Satu-satunya teman yang dia ada. Ayob dari keluarga berada tetapi tidak kisah bersahabat dengannya.  Ayob juga umpama peniup semangatnya ketika dia jatuh. Dia jadi kaki masjid pun sebab Ayob tak pernah lekang mengajak dia ke masjid setiap hari. Itu yang membuatnya yakin bahawa Ayoblah sahabat baiknya di dunia dan akhirat.

Razen, kau nak tahu tak? 
Rasulullah pernah bersabda, mafhumnya. Orang yang kuat itu bukanlah orang yang handal berlawan, tetapi ialah orang yang mampu mengawal dirinya semasa marah. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Jadi, kalau kita nak jadi kuat macam Nabi Muhammad SAW pesan tu, kita tak payah jadi Superman, tak perlu jadi Hulk dan tak semestinya kena jadi Boboiboy versi Ribut Petir. Bila orang lain jahat dengan kita, kita kenalah sabar je. Tahan marah tu, kalau kita marah lagilah mereka berasa seronok. Lainlah kalau dia sampai mencederakan kita.Tapi, ingat! Bersabar itu tanda orang beriman dan ALLAH sentiasa bersama orang-orang yang bersabar! Dahlah tu, habis karang tisu tu. Menangis macam tak ada hari esok pula. Senyumlah.”

Pesan Ayob suatu ketika dia mengadu tentang pandangan sinis orang lain terhadap keluarganya. Cuma, pagi tadi Ayob tidak dapat hadir ke tuisyen kerana pergi menemani ibunya ke hospital. Walaupun hidup Ayob mewah tetapi ALLAH uji dia dengan penyakit kanser ibunya. Bapa Ayob sudah lama meninggal dunia. Tetapi, Ayob tetap tersenyum. Ayob tidak pernah mengeluh sedikit pun. Bagi Ayob, ALLAH sayang dia kerana itulah ALLAH tak lekang uji dia.
Razen tersedar. Dia bersyukur dia masih punya abah yang sanggup berkorban mencari rezeki, mama yang bersusah payah menguruskan hidup sekeluarga dan adik-adik yang selalu membuatkannya ketawa. Tiba-tiba fikirannya teringat Juki. Ibubapa Juki selalu sibuk dengan kerjaya dan tidak prihatin dengan Juki. Mungkin kerana itulah Juki buat perangai. Kurang kasih sayang katakan.
“ Ya ALLAH, ampunkan aku kerana merungut tadi. Baru aku sedar betapa bertuahnya aku punya keluarga yang tidak dapat diganti dengan harta berjuta.” Razen bermonolog. Insaf.

No comments: